Isnin

4:17 PG


Sesungguhnya orang yang pertama kali berbuat dengki di langit ialah iblis terkutuk, maka berlanjutanlah sifat dengki itu seperti yang ada. Dan orang yang pertama kali melakukan dengki di dunia ialah Qabil pada saat dia berhasad dengki terhadap saudara kandungnya yakni Habil, maka berlanjutanlah sifat dengki seperti yang ada. Maka cukuplah perbuatan keduanya itu sebagai nasihat dan pengajaran bagi mereka yang berfikir.


Rasulullah ﷺ bersabda; bermaksud: “Sesungguhnya pada nikmat Allah ta’ala itu terdapat musuh-musuh. Baginda ditanya: “Siapakah musuh-musuh itu ya Rasulullah? Baginda menjawab, Mereka ialah orang-orang yang berhasad dengki terhadap orang lain atas anugerah yang diberikan oleh Allah.”

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ


Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi ﷺ bersabda: "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar." (HR Abu Daud - 4257)

Sabda Nabi ﷺ, ·“Tidak berkumpul di dalam hati seorang manusia antara iman dan hasad dengki.” (Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi).·

Keadaan orang berhasad dengki

Orang yang berhasad dengki hidupnya tidak akan tenteram. Dia bukan sahaja dimurkai oleh Allah SWT, malah pemikirannya juga sentiasa bercelaru kerana asyik memikirkan ketidakpuasan hati terhadap orang lain. Sifat dengki akan mewujudkan permusuhan. Manusia seperti ini sentiasa merasakan dialah yang terbaik, jadi dia akan gelisah jika ada orang lain melebihinya.

Paling hina sekiranya dengki itu menyebabkan dorongan kepadanya melakukan sesuatu tindakan semata-mata untuk menjatuhkan orang lain, seterusnya boleh mengundang sifat mazmumah yang lain seperti fitnah-memfitnah, pergaduhan, pembohongan, putus silaturahim, penghinaan dan lain-lain. Malah tidak hairan jika sifat dengki juga boleh mengakibatkan pembunuhan. Semua kejahatan ini akan wujud ekoran dari perasaan hasad dengki selagi ianya tidak dijauhkan.

Firman Allah SWT, “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki.” (Al-Falaq: 5)

Hampir semua orang dihinggapi penyakit hasad dengki. Cuma bezanya banyak atau sedikit, bertindak atau tidak. Hatta ulama-ulama pun terkena penyakit ini bahkan lebih berat lagi, hingga di dalam hadis ada dinyatakan, salah satu sebab dari golongan yang masuk neraka itu ialah ulama kerana hasadnya.

Allah SWT menjelaskan tentang orang-orang yang hasad dengki dalam surah Muhammad ayat 29-30:

Patutkah orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya menyangka bahawa Allah tidak sekali-kali akan mendedahkan perasaan dendam dan hasad dengki mereka (terhadap Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya)? (Muhammad: 29)

Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad), lalu engkau tetap mengenalinya dengan tanda-tanda (yang menjadi sifat) mereka dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya dan (ingatlah kamu masing-masing), Allah mengetahui segala yang kamu lakukan. (Muhammad: 30)


Akibat hasad dengki

1. Merosakkan amalan ketaatan

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi ﷺ bersabda: "Jauhi olehmu sekalian akan sifat hasad, kerana sesungguhnya hasad itu menghapuskan beberapa kebaikan ibarat api memakan kayu api dan rumput." (Bukhari dan Muslim)

2. Mendorong melakukan kedurhakaan

Orang yang bersifat hasad (dengki) tidak akan terlepas dari perbuatan memburuk-burukkan orang lain, berdusta, mencaci dan mengumpat. Dari Dhamrah bin Tsa'labah: "Tentu sahaja orang-orang itu baik, selama mana mereka itu tidak saling dengki-mendengki" (Thabrani)

3.Terhalang dari mendapat syafaat

Dari Abdullah bin Basyar, dari Nabi ﷺ:
"Tidaklah termasuk golonganku, si pendengki, orang yang mengadu domba, orang yang mengamalkan ilmu tenung, dan sayapun tidak dari golongan mereka."

Kemudian baginda membaca ayat yang bermaksud: "Orang-orang yang menyakiti hati orang mukmin lelaki mahupun wanita dengan apa-apa yang mereka tidak lakukan (tuduhan palsu), maka sesungguhnya mereka itu telah melakukan kedustaan dan dosa yang nyata." (Thabrani)

4. Masuk Neraka

Dari Umar dan Anas bin Malik r.a, Nabi ﷺ bersabda:
"Ada enam macam orang yang akan masuk neraka sebelum dihisab, oleh sebab enam jenis perbuatan." Siapakah mereka ya Rasulullah? Baginda menjawab:
1. Para penguasa, kerana tindakan aniaya mereka,
2. Orang Arab oleh sebab sifat asabiyahnya,
3. Para penjajah kerana keangkuhannya,
4. Para pedagang, kerana perbuatan khianat mereka,
5. Orang kampung kerana kebodohannya,
6. Para ulama oleh sebab sifat dengki mereka. (Riwayat Dailamy)

5. Berbuat sesuatu yang akan membahayakan orang lain.

Allah SWT menyarankan agar memohon kepadaNya perlindungan dari kejahatan Syaitan dan kejahatan pendengki.

Firman Allah bermaksud: "Dan dari kejahatan si pendengki apabila dia mendengki" (Al Falaq: 5)

Nabi ﷺ bersabda: "Mintalah pertolongan atas terlaksananya beberapa keperluanmu dengan sembunyi-sembunyi, kerana sesungguhnya tiap-tiap yang mendapat nikmat itu didengki"

6. Menghadapi kesulitan hidup dan bergelumang dengan dosa dan durhaka.

Berkata Ibnus Sammaki: "Saya belum pernah melihat orang yang aniaya, seperti orang yang dianiaya oleh orang yang berbuat dengki, iaitu sulit, fikirannya bingung serta selalu susah."

7. Hati menjadi buta.

Seorang yang hasad dengki seakan tidak dapat memahami hukum Allah lagi asalkan dia dapat melaksanakan kedengkiannya seperti tindakan Qabil membunuh Habil. Berkata Sufyan: "Janganlah engkau menjadi orang yang pendengki serta cepat mengambil kesimpulan."

8. Selalu gagal dalam hidup.

Kata hukama': Orang yang pendengki itu tidak akan jadi pemimpin (selalu menemui kegagalan).