Sedekah Ramadan, Peniaga Di Kluang Buka Gerai Jemput-Jemput Percuma Untuk Orang Ramai
"Ambillah seberapa banyak pun, asalkan habis dimakan ketika berbuka puasa kerana semua percuma,” kata Ismail kepada orang ramai yang datang ke gerai jemput-jemput yang diusahakannya sejak 17 tahun lalu di Jalan Kampung Melayu, di sini, sepanjang Ramadan
Jelas Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Mail, beliau sengaja ingin bersedekah serta mahu mencari berkat pada bulan yang mulia ini. Keuntungannya sepanjang tahun diambil sedikit untuk bersedekah dengan cara memberi jemput-jemput percuma dari pukul 4.30 petang hingga 6.30 petang.
“Apa salahnya kita habiskan antara RM1,000 dan RM2,000 sepanjang Ramadan ini untuk bersedekah kerana apa yang diperoleh melalui keuntungan jualan sepanjang tahun melebihi daripada dikeluarkan ini.
“Ini adalah tahun pertama ia dilakukan dan berharap dilaksanakan setiap kali Ramadan sekiranya panjang umur,” katanya ketika ditemui di gerainya semalam.
“Saya membuka peluang kepada orang ramai berkongsi bersedekah dengan menyumbangkan buah-buahan seperti pisang, betik, tembikai susu, nanas dan nangka untuk dijadikan jemput-jemput dan diagihkan kepada orang ramai.
“Semoga dengan apa yang dilakukan ini mendapat berkat daripada Allah seterusnya dilimpahi rahmat serta rezeki sama ada daripada sudut perniagaan mahupun pekerjaan lain,” katanya.